Gondola rosak, dua pencuci bangunan diselamatkan - Utusan Malaysia

Gondola rosak, dua pencuci bangunan diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Dis.- Dua pekerja pencuci bangunan berdepan detik cemas apabila gondola yang digunakan untuk mencuci sebuah hotel di Persiaran KLCC di sini rosak sehingga seorang daripada mereka tergantung di tingkat 33, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu, kedua-dua warga Nepal berusia lingkungan 30-an berkenaan dikatakan sedang mencuci bangunan hotel tersebut di tingkat satu dan tingkat 33 namun gondola tersebut tiba-tiba berhenti.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 10.57 pagi.

“Pasukan BBP Hang Tuah dengan kekuatan lapan anggota bersama satu unit jentera ‘Aerial Ladder Platform’ (ALP) turut diarahkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kami mendapati seorang pekerja pencuci bangunan berusia dalam lingkungan 30-an tergantung dengan memakai ‘harness’ di tingkat 33 manakala mangsa kedua pula tersangkut di dalam gondola di tingkat satu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati gondola tersebut mengalami masalah teknikal ketika kerja mencuci bangunan dijalankan.

“Bagi menyelamatkan mangsa pertama, kaedah ‘ascending’ digunakan dengan menaikkan mangsa ke tingkat 34 yang mempunyai ruang akses.

“Bagi mangsa kedua pula, kami menggunakan ALP. Kedua-dua mangsa diselamatkan pada pukul 11.49 pagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×