JAKARTA 30 Dis. – Gempa bumi berukuran 5.7 skala Richter menggegarkan wilayah Bengkulu di Pulau Sumatera hari ini. Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa yang berlaku 3.39 petang waktu tempatan itu berpusat di 42 kilometer Timur Laut Lebong, wilayah Bengkulu. Gegaran gempa itu dirasakan di Kota Bengkulu, Kepahiang, Bengkulu Tengah, Manna, Mukomuko, Lebong, Pesisir Selatan, Kepulauan Mentawai, Pariaman dan Padang. Menurut media tempatan, penduduk dilaporkan bertempiaran keluar dari bangunan dan kediaman mereka. Bagaimanapun, BMKG melaporkan gempa itu tidak mencetuskan tsunami. Setakat ini belum terdapat sebarang laporan kemusnahan harta benda atau kemalangan jiwa. – BERNAMA










