KUALA LUMPUR 24 Dis. – Desakan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy digugurkan daripada Kabinet bukan kerana beliau seorang berbangsa India tetapi disebabkan ramai yang beranggapan beliau gagal melaksanakan tugas serta tanggungjawab untuk memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.
Sehubungan itu, hujah penyokong Waytha Moorthy yang menganggap majoriti rakyat menolak pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu kerana cuba mengambil peluang menegakkan kebencian, ketaksuban dan ketegangan etnik dalam negara adalah tidak berasas, ibarat tidak berpihak di bumi nyata.

Hakikatnya, portfolio untuk menjaga perpaduan antara kaum dalam negara dilihat terlalu membebankan Waytha Moorthy sehingga beliau acap kali terpalit dengan pelbagai isu yang mengundang kemarahan rakyat.
Kebimbangan itu disuarakan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa yang menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggugurkan Waytha Moorthy demi mengelakkan kebencian antara kaum menjadi lebih parah.
“Waytha Moorthy gagal menunjukkan tahap profesionalisme sebagai seorang menteri yang menjaga perpaduan rakyat. Beliau sendiri sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah perkauman sehingga mengguris hati orang Melayu Islam.
‘‘Kita menolak Waytha Moorthy bukan kerana dia seorang India, namun kerana kegagalannya untuk menjaga perpaduan antara kaum dalam negara. Dr. Mahathir boleh melantik pemimpin India lain yang lebih relevan untuk menggalas tanggungjawab tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zambri menambah, sebagai pembayar cukai, ramai anak muda yang menjadi penentu dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mahu Waytha Moorthy digantikan dengan pemimpin lain bagi memastikan gaji yang diberi kepada menteri tidak disia-siakan begitu sahaja.

Sementara itu, Timbalan Presiden Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI), Ismail Mina Ahmad berkata, Waytha Moorthy bukan sahaja menjadi liabiliti kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun pada masa sama turut menjadi liabiliti kepada rakyat.
Katanya, kontroversi yang berlaku kepada Waytha Moorthy dilihat menjadi penghalang terbesar kepada keinginan seluruh rakyat yang mengharapkan keharmonian antara kaum dalam negara tercapai.
‘‘Melihat kepada latar belakang Waytha Moorthy dalam Hindraf, kenyataan-kenyataan sensasi dan cara beliau menangani isu perpaduan dalam negara, maka wajarlah Perdana Menteri gantikannya dengan pemimpin yang lebih berwibawa,’’ katanya.










