KUALA LUMPUR 21 Dis. – Masalah kewangan yang dihadapi Felda disebabkan ketidakseimbangan aliran tunai telah menyebabkan agensi berkenaan tidak mempunyai sumber pendapatan mencukupi bagi menampung komitmen bayaran tinggi.
Bukan itu sahaja, keadaan semasa pasaran yang lemah telah menyebabkan penjualan-penjualan aset tidak dapat dilaksanakan segera di samping kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) yang turut menjejaskan kutipan hutang peneroka Felda.
Namun begitu, Felda dalam satu kenyataan memberitahu agensi tersebut sedang mencari pelbagai penyelesaian bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi ketika ini.
“Felda komited untuk menangani isu ini dan sedang mencari pelbagai penyelesaian bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapinya selain sedang merangka model perniagaan yang mampan.
“Felda juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas peruntukan khas RM77 juta yang diumumkan melalui Kementerian Kewangan semalam. Penghargaan juga kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang turut membantu menangani isu ini dengan segera,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM77 juta bagi membantu menyelesaikan masalah aliran tunai Felda.
Peruntukan tersebut adalah bagi menyelesaikan tunggakan-tunggakan bayaran pinjaman sara hidup dan pinjaman pendahuluan hasil kepada seramai 38,000 peneroka, bayaran tunggakan kepada ejen pengurusan tanam semula iaitu Felda Technoplant Sdn. Bhd. dan juga bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka. – UTUSAN ONLINE










