KUANTAN 22 Dis. – Kemelut pelantikan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR tidak sepatutnya timbul jika memahami dan menghormati Perlembagaan parti tersebut.
Pengerusi MPN negeri, Fuziah Salleh berkata, Perlembagaan parti itu jelas menunjukkan bahawa lantikan Pengerusi MPN adalah kuasa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Presiden telah ambil maklum balas dari ketua-ketua cabang dan Presiden juga telah datang ke Kuantan dan telah membuat keputusan apa yang terbaik di negeri ini.
“Apabila Presiden tanya saya berhubung lantikan saya, saya menyerahkan kepada Presiden untuk membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Kelab Prihatin Kuantan dan MBS World di sini hari ini.
Seramai 400 penerima dari 25 kawasan dalam tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuantan menerima baucer barangan kelengkapan sekolah pada majlis itu.
Baru-baru ini, peguam dan bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya mendakwa PKR mengamalkan pilih kasih dan nepotisme dalam pelantikan Pengerusi MPN yang memihak kepada satu puak dalam pemilihan lalu.
Latheefa mendakwa, Anwar mengabaikan calon yang dipilih oleh ketua-ketua cabang. – UTUSAN ONLINE










