ESCOG 1.0 tambah ilmu penggemar rekreasi - Utusan Malaysia

ESCOG 1.0 tambah ilmu penggemar rekreasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJAN tanpa henti sepanjang dua hari program Perhimpunan Rekreasi Luar Pantai Timur (East Coast Outdoor Gathering – ESCOG 1.0) pada awal Disember lalu tidak menghalang penganjur meneruskan perancangan yang telah disusun atur. Mujur hujan tidak lebat pada waktu siang, cuma lebat pada malam hari pertama.

Dalam persekitaran yang sedikit becak, kira-kira 150 peserta meneruskan aktiviti di lokasi berlangsungnya program iaitu di Kem Panching, Air Terjun Pandan, Kuantan, Pahang.

Program anjuran Hamoc Pahang Hikers itu diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik dan berilmiah, sekali gus memberi tunjuk ajar dan panduan kepada penggemar aktiviti rekreasi mendalami dunia aktiviti lasak yang diminati mereka.

Antara aktiviti yang diadakan adalah sesi dialog melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan ceramah pertolongan kecemasan termasuk demonstrasi melakukan CPR (cardiopulmonary resuscitation) oleh wakil dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan. CPR adalah gabungan khidmat pertolongan cemas pernafasan dari mulut ke mulut dan tekanan dada. Teknik dan cara yang betul mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Justeru, demonstrasi seperti ini ternyata memberi manfaat kepada peserta yang rata-rata terdiri daripada anak muda.

Pengarah program, Firdaus Zulkifli berkata, aktiviti lain yang turut diadakan adalah perkongsian ilmu ikhtiar hidup (survival), demonstrasi aktiviti luar, tree climbing dan meneroka gua oleh Awan Adventure, river crossing dan kerjaya dalam rekreasi (Outdoor Booster), konsep perkhemahan hammock (Hugs Project & Hammockers Malaysia) serta sesi bersama pendaki Everest Felda 2013, Siti Hanisah Sharuddin dan Mohd. Nasuha Shamsudin.

“Kesemua program ini diadakan pada hari Sabtu manakala keesokan harinya peserta meneruskan aktiviti bersama Malaysia Nature Society (MNS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Selain itu, sesi perkongsian ilmu dalam meningkatkan kesedaran aktiviti luar disampaikan oleh Hairi Alerjendro,” katanya kepada S2.

Keseluruhan program menyaksikan sebanyak 70 peratus aktiviti melibatkan perkongsian ilmu berkaitan aktiviti luar termasuk keselamatan, pemuliharaan hutan, kemahiran ikhtiar hidup dan demonstrasi memasang khemah serta hammock.

Sekitar 30 peratus lagi pengisian program melibatkan aktiviti luar termasuk demonstrasi tree climbing iaitu teknik mendaki pokok menggunakan tali dan teknik menyeberang sungai yang diadakan di kawasan air terjun.

Selain itu, sesi cabutan bertuah diadakan beberapa kali bagi mendorong peserta untuk datang ke setiap lokasi aktiviti diadakan. Kebanyakan hadiah ditaja oleh Pertubuhan Malaysian Steam & Internal Combustion Engine-Engineer (MSIEA) seperti televisyen 47 inci, beg komputer riba dan telefon pintar.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, aktiviti julung kali diadakan di pantai timur itu bertujuan mengumpul penggemar aktiviti rekreasi dalam satu program bagi menambah pengetahuan dan kemahiran aktiviti luar.

Katanya, program itu juga diadakan bagi memenuhi masa penggemar dan penggerak aktiviti luar yang tidak dapat melakukan aktiviti yang digemari seperti mendaki gunung atau perkhemahan di dalam hutan simpan dan hutan lipur sepanjang bulan November hingga Januari setiap tahun.

“Disebabkan musim tengkujuh pada akhir dan awal tahun, maka beberapa negeri termasuk Pahang menutup hutan simpan dan hutan lipur daripada sebarang penganjuran aktiviti luar.

“Jadi, tempoh tiga bulan yang panjang itu dimanfaatkan dengan penganjuran program seperti ini,” ujarnya.

Memandangkan hujan berterusan sepanjang dua hari program berlangsung pada 1 dan 2 Disember lalu, maka Firdaus memaklumkan akan mengadakan program yang sama lebih awal iaitu pada November.

“Musim hujan baru nak bermula pada November. Jadi, kami bercadang mengadakan program ini pada setiap awal November mulai tahun hadapan,” katanya yang memberitahu program ini akan dijadikan acara tahunan.

Sementara itu, Siti Hanisah yang merupakan pendaki wanita termuda negara menakluk puncak Gunung Everest menerusi projek Everest Felda kelolaan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) 2013, sentiasa mengalu-alukan penglibatan anak muda dalam aktiviti lasak.

“Saya memang berhasrat menyertai program ini sebagai peserta memandangkan saya kini menetap di Kuantan. Tak sangka pula penganjur menjemput saya untuk berkongsi pengalaman mendaki Everest bersama peserta program,” katanya yang gembira melihat peserta seronok menyaksikan tayangan slaid mengenai kejayaannya menakluk ‘bumbung’ dunia’ kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, dia kini sibuk menerima jemputan daripada pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta bagi menyampaikan ‘cerita’ di sebalik kejayaan menakluk Everest.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×