Senada bumbung-bumbung bangunan pencakar langit yang menjulang ke awan di Causeway Bay, antara kawasan paling sibuk di Hong Kong, kota metropolitan yang dikatakan menjadi destinasi paling kerap dikunjungi warga dunia pada tahun 2018 itu bergerak pantas.
Berbalut suhu waktu siang tidak melebihi paras 20 darjah Celsius dengan wajah penghuni kota yang agak janggal untuk memberikan senyuman kepada orang asing, suasana di tingkat 34 sebuah hotel lima bintang, Regal Hong Kong, sebaliknya berbeza. Ia melimpah dengan kehangatan aroma selesa untuk dihirup sepanjang temu bual bersama para pemain filem aksi Master Z: The Ip Man Legacy yang bakal menemui penonton tanah air minggu depan.
“Saya suka ditemubual wartawan dari Malaysia. Mereka lebih relaks dan santai ketika bertanyakan soalan dan itu amat menghiburkan,” jelas pelakon pembantu yang membawakan watak Ma King Sang dalam filem spin-off Ip Man tersebut membuka bicara.
Biarpun sekadar membawakan watak sampingan antagonis dalam filem berkenaan, banyak perkara yang dikongsikan Patrick Tam, 49.
“Ibu saya memang orang Hong Kong tetapi dia membesar di Malaysia. Jadi, kalau orang Malaysia datang sini, saya teruja kerana mereka sangat mesra,” tambahnya ringkas.
Diajak berbicara tentang penglibatannya dalam filem terbitan Raymond Wong dan Donnie Yen tersebut, Patrick amat berbangga kerana dapat berlakon bawah arahan pengarah filem aksi legenda Hong Kong, Yuen Woo Ping.
“Dalam Ip Man 3, Woo Ping bertindak sebagai pengarah koreografi namun dalam filem ini, dia mengambil alih bangku pengarah. Jadi, saya amat teruja bekerja dengannya.
“Watak saya dalam filem ini menjadi menarik apabila dikhianati oleh seseorang. Dalam kehidupan sebenar pun, banyak kali saya dikhianati orang dalam industri dan ia menjadikan saya seseorang yang lebih matang,” katanya yang enggan mendedahkan lebih terperinci identiti individu berkenaan.
Melanjutkan bicara, secara bersahaja Patrick membuahkan pandangan tentang aksi yang mahu dilakonkan dalam filem berkenaan. Apa terletus daripada mulutnya, membuatkan semua wakil media di hadapannya riuh dengan tawa: “Saya berharap dapat bertarung dengan penggusti handalan seperti Dave Bautista (ketawa). Saya sebenarnya boleh mencabarnya berlawan.”
Master Z
Masa yang paling ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila bintang utama Master Z: The Ip Man Legacy mengambil ruang duduk di bangku untuk menceritakan pengalamannya lebih terperinci sepanjang menterjemah karakter, Cheung Tin Chi.
Sedikit ulang kaji fakta, Cheung Tin Chi atau Master Z adalah watak daripada Ip Man 3 yang kalah dalam pertarungan sengit bersama Ip Man lakonan Donnie Yen. Akibat kekalahan tersebut, Tin Chi menjalani hidup menyendiri bersama anaknya tanpa menggunakan jurus atau seni pertahanan diri Wing Chun secara terbuka.
“Tin Chi kecewa dan tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sudah kalah di tangan Ip Man. Bagaimanapun, dia tidak boleh menafikan rasa rindunya untuk berlawan atau menggunakan teknik Wing Chun apabila banyak perkara berlaku dalam filem ini.
Anak prihatin
“Kekalahan dengan Ip Man telah menjadikan Tin Chi seorang yang lebih bertanggungjawab, bukan sahaja terhadap anaknya bahkan masyarakat. Kalau dalam Ip Man 3, dia diterjemahkan sebagai seorang yang bongkak, kali ini dia berjuang demi kebenaran dan kebaikan,” kata Max Zhang, 44.
Melanjutkan perbualan, Max turut memuntahkan pendapat tentang kebarangkalian perbandingan audiens tentang wataknya dengan karakter Ip Man (lakonan Donnie) yang sudah sebati dalam minda semua.
“Perbandingan memang akan wujud. Di media sosial pun sudah banyak respons berhubung hal itu dalam kalangan orang ramai.
“Saya tiada masalah dan memang perbandingan tidak boleh dielakkan. Apa yang saya harapkan, filem ini akan ditonton dan dinikmati dengan hati terbuka,” tuturnya merendah diri.
Mempunyai dua puteri iaitu Zoe Zhang dan Chloe Zhang hasil perkongsian hidup dengan pasangannya, Ada Choi yang juga seorang aktres, Max sebenarnya masih mempertimbangkan sama ada mahu mengizinkan dua anaknya itu menonton filem terbaharu lakonannya.
“Ada banyak aksi ganas dalam filem ini dan sebab itu, saya tidak mahu anak-anak menontonnya. Mungkin belum waktunya untuk mereka didedahkan dengan hal sebegitu.
“Bagaimanapun, salah seorang anak saya sedar yang bapanya berdepan kecederaan semasa penggambaran. Apabila saya pulang ke rumah, dia memeluk dan bertanyakan sama ada saya sakit atau tidak,” kongsi Max yang dilahirkan di Chongqing, China.
Dijentik persoalan tentang rahsia memberikan komitmen terbaik di layar perak pada usia 40-an, Max menuturkan pegangan kuatnya sebagai pelakon aksi.
“Seni pertahanan diri adalah hidup saya. Sifu saya dahulu pernah berpesan, jadilah doh atau adunan tepung yang bagus kerana daripada doh itu boleh jadi mi ataupun roti berkualiti.
“Saya tidak mahu disifatkan orang sebagai hero filem. Apa yang lebih penting adalah tanggungjawab membawakan mesej dalam sesebuah karya.
“Apabila tanggungjawab itu bertukar menjadi kejayaan pada mata audiens, ia memberi makna besar buat saya,” katanya penuh makna.
Sebelum menggulung perbualan, Max ditanya antara watak Master Z dan kehidupan sebenar, yang mana satu menjadi pilihannya. Jawab Max bersahaja: “Sudah tentu Max Zhang kerana saya mempunyai dua orang anak perempuan yang selalu memuji ketampanan saya (ketawa).”
Sementara itu, sutradara Yuen Woo Ping menyifatkan pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai pelakon aksi wanita terhebat dan sukar dicari ganti.
Ujar Woo Ping, 73, sehingga kini, belum ada mana-mana pelakon aksi wanita berdarah Cina yang mampu menandingi atau menggantikan tempat aktres tersebut.
Michelle sukar diganti
“Tiada pelakon aksi wanita generasi sekarang yang sehebat Michelle. Saya masih belum jumpa penggantinya sehingga sekarang.
“Michelle cantik dan pandai bertarung. Saya tidak tahu mana silapnya, namun jika pelakon-pelakon muda wanita sekarang tidak dilatih, memang tidak akan ada Michelle Yeoh seterusnya,” kata Wong Ping.
Wong Ping juga amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan aktres hebat itu dalam filem terbaharu arahannya, Master Z: The Ip Man Legacy selepas agak lama Michelle tidak berlakon filem Hong Kong.
“Saya hanya mahu Michelle berlakon dalam filem ini. Saya mahukan seorang pelakon wanita yang boleh bertarung sehebat pelakon aksi lelaki dan orang itu ialah Michelle.
“Seronok kerana dapat membawanya kembali berlakon dalam filem Hong Kong. Memang hasrat saya untuk mengajak pelakon wanita yang hebat bertarung demi memberi kelainan dalam filem ini,” ujarnya.
Ditanya cabaran terbesar menterjemah filem tersebut, selain bajet besar yang enggan didedahkannya, banyak babak aksi yang dilakonkan memerlukan komitmen sepenuhnya bukan hanya daripada pelakon malah kru yang terlibat.
“Babak bertarung, melompat dari satu tempat ke satu tempat lain, bukan suatu kerja yang mudah. Sebagai pengarah, saya perlu memberikan arahan yang jelas kepada semua orang tentang yang saya mahukan.
“Apapun, saya amat berpuas hati dengan hasil filem ini. Ramai pelakon hebat seperti Dave Bautista, Michelle Yeoh dan Tony Jaa termasuk Max Zhang sendiri memberikan kerjasama yang baik dari awal sehingga hari terakhir di set penggambaran,” terang Wong Ping.
Master Z: The Ip Man Legacy merupakan spin-off filem francais Ip Man yang begitu popular. Ia bakal ditayangkan secara rasmi di pawagam Malaysia bermula 25 Disember (Selasa) ini.










