LONDON 27 Dis. – Unai Emery memohon maaf selepas bertindak menyepak botol air yang secara tidak sengaja terkena penyokong Brighton.
Emery meluahkan kekecewaanya menerusi tindakan itu selepas Arsenal terikat 1-1 dengan Seagulls semasa ‘Boxing Day’ tetapi kemudian meminta maaf kepada penyokong tersebut.
Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, Emery sekali lagi memohon maaf atas tindakannya itu.
“Saya memohon maaf kepada penyokong kerana menyepak botol tersebut selepas aksi mengecewakan pada saat-saat akhir.
“Tidak telalu kuat tetapi botol itu terkena mereka. Saya cakap kepada mereka, saya minta maaf,” kata Emery.
Arsenal gagal meneruskan penguasaan separuh masa pertama mereka untuk tiga mata penuh sekali gus menyaksikan mereka hanya menang satu daripada lima perlawanan terakhir di tempat lawan.
Jurgen Locadia memastikan keputusan seri untuk meletakkan Brighton 10 mata daripada zon penyingkiran, Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan Gunners terlebih dahulu di hadapan pada minit ketujuh permainan.
Penjaring gol terbanyak Liga Perdana Inggeris, mensia-siakan peluang untuk meneruskan penguasaan Arsenal selepas Mat Ryan berjaya menyelamatkan beberapa percubaan pada setengah pertama dan tidak banyak percubaan dilakukan skuad kendalian Emery selepas itu. – AGENSI










