SEREMBAN – Dua lelaki masing-masing pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan ais cedera apabila lori dinaiki mereka itu terjunam ke dalam gaung di Jalan Hutan Lipur Lenggeng Mantin di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kelindan lori iaitu seorang remaja lelaki etnik Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) patah kaki kiri.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Mohd. Hidayat Basly berkata, pemandu lori tersebut, Shamsul Izairee Saadin, 31, cuma mengalami kecederaan ringan.
“Lori itu dipercayai terbabas akibat jalan licin semasa menuruni bukit berselekoh di lokasi kejadian.
“Remaja lelaki etnik Rohingya, Ahsan Huson Ahmed patah kaki selepas dia melompat keluar dari lori itu semasa lori itu terbabas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Mohd. Hidayat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 11.17 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 14 minit kemudian.
Menurut beliau, seramai tiga pegawai dan 13 anggota Bomba dan Penyelamat Mantin serta Seremban bersama beberapa buah jentera dikerahkan memberi bantuan.
Kata beliau, pihak bomba mengambil masa selama 20 minit bagi memberi rawatan awal dan mengeluarkan kedua-dua mangsa dari gaung sedalam kira-kira lima meter tersebut. – K! ONLINE










