Dua cedera lori ais terjunam dalam gaung - Utusan Malaysia

Dua cedera lori ais terjunam dalam gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 31Dis. – Pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan ais cedera apabila kenderaan itu terjunam ke dalam gaung di Jalan Hutan Lipur Lenggeng Mantin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kelindan lori iaitu seorang remaja lelaki etnik Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) patah kaki kiri.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Mohd. Hidayat Basly berkata, pemandu lori tersebut, Shamsul Izairee Saadin, 31, cuma mengalami kecederaan ringan.

“Lori itu dipercayai terbabas akibat jalan licin semasa menuruni bukit berselekoh di lokasi kejadian.

“Kelindan, Ahsan Huson Ahmed patah kaki selepas melompat keluar dari lori itu semasa ia terbabas ke dalam gaung sedalam lima meter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Hidayat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 11.17 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 14 minit kemudian.

Menurut beliau, seramai tiga pegawai dan 13 anggota Bomba dan Penyelamat Mantin serta Seremban bersama beberapa buah jentera dikerahkan memberi bantuan.

Katanya, pihak bomba mengambil masa selama 20 minit bagi memberi rawatan awal dan mengeluarkan kedua-dua mangsa dari gaung tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN