Dua anggota bomba Melaka cedera dihempap batu - Utusan Malaysia

Dua anggota bomba Melaka cedera dihempap batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA  – Dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka cedera akibat dihempap runtuhan batu ketika melakukan operasi memadam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Cheng Utama di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, Pegawai Bomba Nurulhashima Affandi, 25, mengalami tisu koyak di bahagian kaki dan cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala manakala Pegawai Bomba Nornikman Mamat, 39, hanya cedera ringan. 

Kedua-dua mereka bagaimanapun dibenarkan keluar dari Hospital Melaka selepas menerima rawatan hari ini. 

Menceritakan kejadian itu, Nurulhashima yang sudah berkhidmat selama enam tahun di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu berkata, dia sedang menaiki tangga tingkat satu untuk memeriksa tingkat atas rumah selepas api berjaya dipadamkan.

“Tiba-tiba ketika saya berada di atas tangga, ketulan batu dari dinding atas pemisah rumah runtuh dan menimpa saya.

“Sebahagian daripada runtuhan menutupi badan dan ketika itu juga seorang lagi rakan setugas ditimpa sewaktu cuba membantu saya,” katanya ketika ditemui di BBP Jalan Kubu di sini sebentar tadi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah JBPM, Mohamad Zin Salleh dan Ketua BBP Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd. Din turut hadir melawat anggota tersebut.

Terdahulu, kebakaran rumah itu berlaku kira-kira pukul 10.25 malam namun tidak melibatkan kecederaan kepada penghuni rumah.

Komander Operasi Mohamad Ismail Harun berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.39 malam selepas dua buah jentera bersama 16 anggota dikejarkan ke lokasi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN