Dron jejas jadual operasi lapangan terbang - Utusan Malaysia

Dron jejas jadual operasi lapangan terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 21 Dis. – Satu daripada lapangan terbang paling sibuk di Britain terpaksa menangguhkan hampir semua semua penerbangannya selepas lebih daripada 50 buah dron dilaporkan berlegar di kawasan landasan sekali gus menjejaskan perjalanan le­bih 100,000 orang penumpang.

Gangguan masuk hari ketiga itu memaksa penerbangan ke Lapangan Terbang Gatwick dekat London terpaksa dilencongkan ke bandar-bandar lain.

Keadaan itu memaksa penumpang berdepan kelewatan penerbangan selama beberapa jam sebelum terpaksa bermalam di hotel berhampiran.

Polis Britain dalam pada itu mempertimbangkan untuk menembak jatuh kesemua dron itu selepas percaya ia disengajakan bagi mengganggu operasi lapangan terbang menjelang cuti Hari Krismas.

Tentera Britain turut dipanggil bagi menawarkan sokongan tambahan ketika polis giat memburu pihak bertanggungjawab.

“Kami akan buat sebaik mungkin bagi memastikan tiada lagi dron di ruang udara sekali gus memastikan operasi Lapangan Terbang Gatwick kembali normal,” kata Ketua Detektif, Supritendan Jason Tingley.

Menurut pihak lapangan terbang, landasan tidak dapat dibuka semula ekoran kemunculan semula pesawat tanpa pemandu berkenaan.

Sekurang-kurangnya 10,000 penumpang terjejas akibat kemunculan dron, malam kelmarin manakala 110,000 penum­pang terjejas melibatkan 760 penerbangan, semalam.

“Ia perbuatan yang salah dan kebudak-budakan kerana ia menjejaskan lebih 100,000 orang,” kata seorang penum­pang, Musab Rashid.

Sebanyak dua dron mula dikesan terbang di lapangan terbang itu kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan kelmarin memaksa ia terpaksa ditutup sebelum dibuka semula pada pukul 3 pagi semalam.

Namun lapangan terbang itu terpaksa ditutup semula beberapa jam kemudian selepas kemunculan lebih banyak dron.

Mengikut undang-undang Britain, dron tidak boleh diterbangkan pada jarak satu kilometer dan melebihi ketinggian 122 meter dari lapangan terbang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×