KEPALA BATAS 16 Dis. – Tiga lelaki yang sedang asyik menunggang motorsikal secara merbahaya menerima padah apabila ditahan polis dalam satu operasi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) hari ini.
Dalam operasi Khas Samseng Jalanan yang bermula pukul 11 malam semalam dan berakhir 7 pagi hari ini, ketiga-tiga mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 22 tahun didapati menunggang motorsikal dengan pelbagai aksi seperti meniarap, menunduk badan dan sebagainya.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor kesemua tangkapan adalah pekerja kilang, pelajar swasta dan bekerja sendiri.
“Kesemua mereka telah menjalani saringan awal ujian air kencing dan didapati negatif,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, ibu bapa perlu mengawasi anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat seperti berlumba motorsikal secara berbahaya itu.










