ALOR SETAR 7 Dis. – Badan Perhubungan UMNO negeri tidak menolak kemungkinan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 yang dijangka dihadiri ratusan ribu peserta itu bakal terdedah dengan tindakan sabotaj dan provokasi oleh pihak-pihak tertentu.
Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru kepada seluruh peserta, di samping menjaga adab dan sopan, tidak terpengaruh dengan sebarang cubaan pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan untuk memburukkan imej himpunan esok.
“Perlu ditekankan bahawa himpunan yang dijangka disertai oleh ratusan ribu itu tidak mustahil terdedah kepada tindakan sabotaj dan provokasi pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan memburuk dan menjejaskan imej himpunan kita nanti.
“Semua peserta perlu berhati-hati dengan sebarang tindakan buruk tersebut dan tidak melayan provokasi atau kekecohan yang mungkin sengaja dicetus pihak yang cemburu melihat perpaduan serta penyatuan kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Jamil Khir, pihaknya berbesar hati dan memandang tinggi terhadap sokongan serta semangat juang yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk menghadiri perhimpunan tersebut.
“Solidariti tidak berbelah bahagi dalam menyokong perpaduan ummah dan masyarakat berbilang kaum yang julung-julung kali berlaku di negara ini merupakan tanda kesepakatan serta kematangan dalam mendokong semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Kita juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak berkuasa yang telah membenarkan himpunan aman lagi bersejarah ini berlangsung di ibu negara sebagaimana yang dirancang pihak penganjur.
“Dalam masa sama, kita juga amat berharap agar pihak berkuasa sudi memberi kerjasama erat dalam menjaga keamanan himpunan ini dan peka terhadap kemungkinan sabotaj daripada pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










