IPOH 31 Dis. – Pemimpin Pakatan Harapan perlu menunjukkan kepemimpinan melalui teladan dengan memastikan tiada budaya pemberian kontrak kepada kroni mahupun untuk kepentingan sendiri bagi sebarang projek kerajaan.
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menerusi satu kenyataan bersama oleh tiga Ahli Jawatankuasanya iaitu Leong Yu Sheng, Tan Tiong Yih dan Woo Kah Leong berkata, rakyat kini sedang menilai kerajaan, justeru ‘barah’ yang merebak dalam kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu harus tidak dibiarkan wujud dalam Pakatan Harapan.
“Kami menyokong penuh kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menegur perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran meminta kontrak daripada kerajaan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ke-2.
“Malahan, saudara Syed Saddiq turut menyentuh bahawa dahulunya UMNO pun tidak pernah membangkitkan isu kontrak di khalayak ramai, justeru beliau mempersoalkan di manakah maruah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, budaya pemberian kontrak dan amalan kronisme merupakan antara salah satu penyebab utama kepada kejatuhan kerajaan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum lalu kerana kebanyakan pemimpin parti itu mengejar kekayaan menerusi cara tersebut.
Sehubungan itu katanya, adalah penting bagi pemimpin Pakatan Harapan, tidak kira apa parti sekali pun, untuk menunjukkan perbezaan serta tidak mengulangi kesilapan rejim terdahulu. – UTUSAN ONLINE










