PENCETUS Ummah (PU) Rizz sedar tangggungjawab berdakwah bukanlah mudah.
Namun, atas kapasitinya sebagai seorang insan yang mahu membantu golongan tertentu berada di landasan yang benar, kesukaran tidak pernah membuatkan pelakon muda ini berputus asa.
Meskipun kadang-kadang dipandang serong, ia tidak membataskan semangat dan tanggungjawab PU Rizz untuk terus memberi kefahaman kepada mereka yang memerlukan.
Menggunakan populariti yang dimilikinya ketika ini, PU Rizz menjadikan platfrom sebagai seorang figura awam untuk mendekati beberapa golongan termasuk mereka yang dikategorikan sebagai golongan LGBT.
Terlibat dalam dunia seni lakon, PU Rizz, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail tidak menolak turut mempunyai rakan dalam kalangan golongan tersebut yang disifatkannya sebagai insan yang kreatif, baik hati dan punya pelbagai kelebihan lain.
Kata pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan ini, berdakwah kepada golongan tersebut mempunyai cara tersendiri terutama dari segi bahasa dan gaya perbualan agar sampai kepada maksud sebenar.
“Saya mempunyai ramai kawan golongan LGBT. Sebagai pelakon, saya biasa bekerja dengan golongan ini. “Mereka sangat kreatif dalam bidang seni seperti mekap dan rajin dalam membina kerjaya. Ketabahan mereka mencari rezeki halal siang dan malam patut dicontohi.
“Alhamdulillah, mereka yang saya kenali tidak tinggalkan solat dan suka membantu orang di kala susah. Kadang-kadang semangat persahabatan mereka dalam menjaga ukhuwah sesama manusia sangat hebat berbanding yang lain.
“LGBT memang haram, tapi ada kaedah penyelesaian, bukan dengan cara ekstrem. Saya tahu ada sesetengah masyarakat memandang serong golongan ini. Jangan begitu. Hargailah hak Islam yang ada dalam diri mereka,” katanya.
Tambah PU Rizz, Islam membina kehidupan seseorang dan bukannya menghukum. Sebanyak mana pun dosa seseorang pasti ada jalan taubat.
“Kita sebagai orang sekeliling sepatutnya mengajak mereka ke arah kebaikan dan jangan menghukum. Siapa kita nak hukum dosa pahala orang?
“Ingatlah, ada perkara baik dalam diri mereka yang tiada pada kita. Kita pun belum tentu terjamin ke syurga. Jadi, jangan ada diskriminasi bila berkawan. Kalau mereka salah kita tegur secara baik. Kalau kita ada silap, mereka pun berhak tegur.
“Saya sendiri selalu ajak mereka solat dan menyampaikan perkara-perkara yang baik dengan cara yang sesuai. Misalnya apabila sedang bersantai, cara dakwah itu perlu relaks atau dengan cara bergurau, bukan serius. Penggunaan bahasa juga perlu bijak dan tidak menyakitkan hati sesiapa yang mendengar.
“Dalam menyampaikan dakwah, jangan ada riak atau berasakan diri lebih bagus daripada orang lain. Ilmu yang ada patut dikongsi bukan untuk dibangga-banggakan. Rasa rendah diri atau tawaduk itu sangat penting dan menjadi kunci agar orang sekeliling menerima dakwah kita,” kata PU Rizz.










