KUALA LUMPUR – Clorox (Malaysia) Sdn. Bhd. (Clorox Malaysia) kini memperkenalkan lima produk inovasi terbaharu dalam rangkaian pembersihan berharuman jenama itu, Clorox Scentiva bagi memenuhi permintaan segmen pengguna di negara ini.
Clorox Malaysia merupakan anak syarikat The Clorox Company (Clorox) yang juga peneraju dalam pengilangan dan pemasaran multi nasional bagi pelbagai produk pengguna.
Pengurus Besar Clorox bagi Asia Tenggara, Marites T. Dagdag berkata, syarikat melihat potensi yang positif dalam mengembangkan produk berkenaan di Malaysia selain ia amat bersesuaian dengan cita rasa pengguna di sini.
“Jenama kami sangat signifikan dalam kategori produk peluntur di Malaysia dan syarikat berhasrat untuk memperkukuhkan lagi pasaran dengan memperkenalkan lebih banyak rangkaian bagi segmen berkenaan.
“Clorox secara keseluruhannya telah memperuntukkan pelaburan bernilai AS$132 juta (RM549.79 juta) pada tahun ini bagi tujuan kajian dan pembangunan untuk menghasilkan pelbagai pilihan produk terbaik kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui selepas majlis pelancaran Clorox Scentiva di Ciao Ristorante, Off Jalan Tun Razak di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Marites, produk Clorox Scentiva yang dikilangkan di Amerika Syarikat itu tidak hanya diperkenalkan di Malaysia sebaliknya bakal dieksport ke pasaran Filipina dan Singapura dalam tempoh suku pertama tahun hadapan.
“Ia juga bakal dilancarkan di Hong Kong tidak lama lagi,” ujarnya.
Clorox Scentiva disediakan dalam dua haruman iaitu Tuscan Lavender & Jasmine yang masing-masing ditawarkan dalam bentuk gel pembersihan tandas, semburan buih bilik mandi menyahjangkitan dan semburan pembersihan pelbagai lapisan selain varian Pacific Breeze & Coconut (gel pembersihan tandas serta semburan pembersihan pelbagai lapisan).
Pengguna kini boleh mendapatkan rangkaian produk tersebut di semua pasar raya besar di Malaysia seperti AEON, Tesco, Giant dan Jaya Grocer.










