HANOI 16 Dis. – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan mengulas mengenai jaringan kontroversi Nguyen Anh Duc yang menyebabkan Malaysia tewas 0-1 aksi final kedua Piala AFF sekali gus terlepas gelaran menerusi agregat 2-3.
Katanya, jaringan pada minit keenam itu jelas mengganggu rentak permainan anak-anak buahnya, sekali gus menyukarkan tugasan mereka untuk bangkit dalam perlawanan itu.
Menurut bekas pengendali Kedah itu, pasukannya sudah beraksi sehabis daya dan mereka adalah pemain terbaik untuk membarisi skuad negara pada masa akan datang.
“Sebelum ini kita dibolosi gol awal dalam tiga perlawanan dan situasi sebegini memang menjejaskan kelancaran permainan kita.
“Kali ini kita tidak dapat untuk bangkit menyamakan kedudukan meskipun kita ada dua, tiga peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan,” katanya.
Van Duc dan Phan Van Duc dilihat sudah berada dalam posisi ofsaid ketika menerima hantaran Nguyen Quang Hai dari sebelah sayap kiri.
Keputusan perlawanan mungkin berbeza sekiranya pengadil dari Iran, Alireza Faghani membatalkan jaringan Anh Duc kerana ofsaid. -UTUSAN ONLINE










