ZAHIRNYA kelihatan tidak sempurna, namun itu bukan halangan untuknya beramal soleh seperti insan lain.
Malah, kekurangan diri dijadikan pendorong untuk mencipta kejayaan bahkan sehingga mengatasi keupayaan individu yang sempurna pancaindera.
Buta pada mata, namun tidak di hati. Kesungguhan berusaha, keazaman tinggi serta tidak mudah berputus asa tatkala berhadapan kegagalan menjadikan Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi insan begitu istimewa.
Dia yang cacat penglihatan sejak lahir tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuk membaca dan mendekati ayat-ayat suci al-Quran.

Anak muda berusia 23 tahun itu bukan sahaja boleh membaca al-Quran Braille dengan sempurna, malah berupaya menghafaz dan mengajar ilmu al-Quran kepada orang ramai.
Bekas juara tilawah peringkat negeri Sabah itu berkata, selain berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Persatuan Orang Buta di Tuaran, dia juga mengajar pengajian Islam dan al-Quran Braille kepada orang ramai.
“Alhamdulillah, saya berjaya menguasai al-Quran Braille biarpun mengambil masa sehingga enam tahun untuk mempelajari sepenuhnya dan kini saya memanfaatkan ilmu ini dengan mengajar kepada orang ramai terutama golongan senasib,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia pada Majlis Tilawah Quran Braille (MTQB) 2018 peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), baru-baru ini.
Majlis dirasmikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat. Yang turut hadir Yang Dipertua Pertis, Faizal Che Yusof.
Dalam tilawah tersebut, Muhammad Fiqry muncul juara kategori lelaki sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Kejayaan tersebut membolehkan anak kelahiran Kapit, Sarawak itu mempertahankan kejuaraan dimenangi pada pertandingan sama tahun lalu.
Ditanya mengenai pengalamannya menguasai al-Quran Braille, Muhammad Fiqry berkata, dia mula mempelajari al-Quran khas untuk golongan cacat penglihatan sejak bersekolah rendah di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth Johor Bahru, Johor.
Menariknya dia berkata, tenaga pengajar di sekolah pendidikan khas itu terdiri daripada mereka yang catat penglihatan sekali gus menjadikan mereka lebih memahami antara satu sama lain dan mengetahui teknik terbaik memahami al-Quran Braille.
Menurutnya, menguasai al-Quran Braille bukan mudah kerana perlu mengingati segala jenis titik bagi membolehkannya membaca al-Quran dengan baik dan lancar.
Jelasnya, menguasai titik-titik Braille sendiri yang begitu kecil dan banyak agak sukar baginya terutama ketika usia muda.
“Saya mula menghafaz al-Quran pada usia 18 tahun. Kekuatan ingatan adalah paling utama untuk membolehkan saya membaca al-Quran Braille dengan baik,” ujarnya.
Bercerita tentang kehidupannya, Muhammad Fiqry berkata, dia bertuah kerana diberi peluang menjadi bilal di Masjid Bandaraya Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada setiap hari Jumaat sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dia sebelum ini bekerja sebagai tukang urut bagi menampung pendapatan sehariannya selama beberapa tahun sebelum diberi peluang mengajar ilmu agama dan al-Quran Braille di sekitar Kota Kinabalu.
Tambahnya, dia begitu bertuah kerana mempunyai kedua ibu bapa yang menyayanginya, malah bapanya sanggup menghantar ke kelas pengajian agama sekiranya tidak mendapat tempahan kenderaan sewa.
Anak muda yang kuat semangat ini mempunyai cita-cita besar dalam kehidupannya, malah bertekad menjadi pendakwah dan tenaga pengajar al-Quran Braille terbaik pada masa hadapan.
“Saya mempunyai perancangan sendiri pada masa hadapan iaitu menjalankan dakwah terutama kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan rakan-rakan sendiri.
“Saya juga mahu mengajar rakan OKU yang senasib dengan saya untuk belajar al-Quran Braille sekali gus menjadi insan bertuah di dunia dan akhirat,” katanya mengakhiri bicara.
Tidak kesal cacat penglihatan

PADA 2005, matanya yang sebelum ini elok dan sempurna tidak lagi mampu berfungsi dengan sebaiknya. Menjadi semakin kabur akibat kerosakan saraf, Mohd. Fariz Omar, 30, tabah menghadapi ujian yang harus ditempuh.
Reda atas ketentuan Ilahi, anak muda berasal dari Bachok, Kelantan itu berusaha mempersiapkan diri bagi membolehkannya mencari rezeki halal tanpa terlalu bergantung dan mengharap bantuan insan lain.
Tidak mahu membebankan kedua ibu bapa, Mohd. Fariz menceburi bidang urutan bagi memperoleh rezeki halal sekali gus membantu ayahnya menyara 10 lagi adik beradik lain.
Menurutnya, dia memperoleh ilmu mengurut daripada orang kampung sebelum disarankan agar menyambung pembelajaran khas dalam bidang refleksiologi daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Jelasnya, dia menyedari kepentingan ilmu dalam kehidupan seharian, justeru bertekad menyambung pelajaran di Pusat Latihan Gurney selama setahun.
Mohd. Fariz berkata, dia memperoleh sijil mengurut untuk refleksiologi kaki, tangan dan telinga dan dalam masa sama dapat mendalami mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Pendidikan Agama ketika berada di pusat latihan itu.
Kelebihan itu digunakan untuk mengurut orang ramai sekali gus menjana pendapatan lebih baik kepadanya dan membantu ahli keluarga di kampung.
“Saya tidak pernah rasa terpinggir untuk berada dalam masyarakat kerana saya mengalami kerosakan saraf mata secara perlahan-perlahan sebelum bertambah teruk lalu menjejaskan penglihatan pada 2005.
“Saya cuba untuk memperbaiki kehidupan dengan mengikuti pengajian di MAB sebelum menjalankan perkhidmatan mengurut kepada orang ramai menerusi sijil diperoleh dari pusat latihan tersebut,” katanya.
Ditanya mengenai al-Quran Braille, Mohd. Fariz berkata, dia mula mengenali al-Quran Braille pada awal tahun ini dan berusaha menguasai mukjizat terbesar buat umat Islam itu dengan sebaiknya.
Baginya, tidak terlalu sukar menguasai al-Quran Braille mungkin kerana dia sudah mampu membaca al-Quran pada usia muda sebelum mengalami kerosakan saraf mata.
“Saya sudah boleh membaca al-Quran Braille biarpun secara perlahan-lahan. Pertis juga ada memberikan naskhah al-Quran Braille kepada saya sebelum ini dan kemudahan itu saya gunakan sebaiknya.
“Apa yang penting, kesungguhan kita untuk mengenali dan mempelajari al-Quran Braille. Jika kita bersungguh-sungguh, apa sahaja yang dikehendaki akan tercapai,” katanya.










