TEMERLOH 21 Dis. – Warga peneroka mendesak Felda supaya segera mencairkan peruntukan khas sebanyak RM77 juta yang disediakan kerajaan bagi membantu mereka mengatasi kemelut pendapatan yang merosot ekoran kejatuhan harga hasil kelapa sawit sejak beberapa bulan lalu.
Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Anggerik Jengka Satu dekat sini, Mohd. Akhir Awang, 65, berkata, peruntukan itu perlu dimanfaatkan bagi membayar tunai harga sawit yang dijual ke kilang Felda.
“Alasan Felda tiada wang untuk membayar segera komoditi yang dijual oleh peneroka tidak boleh diterima kerana pihak swasta tiada masalah berbuat demikian.
“Wang yang ditunggu hasil jualan komoditi tidak banyak iaitu sekitar RM200 hingga RM300 sahaja tetapi terpaksa menunggu lama untuk mendapat hak wang jualan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang peneroka dari Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Mahmad Dollah, 66, berkata, pengumuman peruntukan sebanyak RM77 juta itu diharapkan bukan retorik bagi menyedapkan hati peneroka.
“Dalam konteks sekarang, warga Felda mahukan apa yang dikatakan itu dikotakan tanpa sebarang alasan memualkan,” katanya.
Pengerusi MPKK Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut, Abdul Rashid Abas, 58, pula mengakui teruja apabila kerajaan mengumumkan peruntukan RM77 juta untuk membantu peneroka di seluruh negara dan berharap bayaran dibuat segera mengikut keperluan.
Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar mahu Felda melaksanakan transformasi jangka pendek dengan mengutamakan perkara yang utama untuk menangani kegelisahan warga peneroka.
Katanya, warga Felda menolak 31 insiatif transformasi Felda jika ia sekadar perhiasan luaran kerana masalah utama peneroka adalah berkaitan pendapatan yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi sawit dan getah.
“Namun warga peneroka sentiasa menyokong usaha Felda untuk mengembalikan kecemerlangan Felda. Warga Felda tidak mahu 31 inisiatif transformasi Felda sekadar retorik tetapi pelaksanaannya hambar dan tidak menepati sasaran yang tidak menggembirakan mereka.
“Sebelum pelan ini dilaksanakan, selesaikan dahulu isu pendapatan peneroka Felda yang teruk terjejas antaranya bayaran pendahuluan pendapatan peneroka yang tergantung hampir tiga bulan,” katanya.










