PUTRAJAYA 26 Dis. – Kerajaan akan menggunakan pangkalan data lama dan mengikut kaedah yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini bagi membayar Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, BSH sebanyak RM300 bagi setiap isi keluarga itu akan mula dibayar pada 28 Januari ini.
Menurutnya, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima tidak layak bagi membolehkan bayaran dibuat cepat sebelum Februari 2019.
Katanya, proses pemutihan akan dibuat bagi mengeluarkan nama penerima tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan.
“Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH bagi fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.
“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan BSH lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah. Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Guan Eng menambah, atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka memanfaatkan kira-kira 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama.
Katanya, jumlah itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion dengan pembayaran dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.
“Seperti diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019, kerajaan akan meneruskan BSH untuk menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup,” katanya.










