GUA MUSANG 31 Dis. – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) membawa seorang bayi perempuan Orang Asli yang pengsan selepas diserang sakit sawan dari Pos Simpor di sini untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang di sini, semalam.
Analaia Amadi yang berusia 1 tahun 6 bulan, dilaporkan mengalami sawan selepas mengalami demam panas dan selesema.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, bayi itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital.

ANALAIA AMADI, setahun 6 bulan, yang diserang sawan tiba di Hospital Gua Musang bersama ibunya dengan bantuan pihak bomba semalam. – UTUSAN ONLINE/ IHSAN BOMBA
Katanya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Subang pada pukul 3.15 petang selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Kami tiba di Pos Simpor kira-kira satu jam kemudian dan pesawat Agusta 109 E telah mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 4.55 petang.
“Selepas itu, mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Bayi yang tidak sedarkan diri itu turut diiringi oleh kedua ibu bapanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Farhan, penerbangan itu diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba 1, Roslan Aziz dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Fazli Ezham Jamil serta seorang lagi anggota, Pegawai Bomba Kanan 1, Safuan Mat Dan.
Katanya, Pos Simpor merupakan sebuah penempatan pedalaman dan sukar dihubungkan dengan kenderaan biasa kerana jalan balak rosak akibat hujan menyebabkan ibu bapa mangsa sukar membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital.
“Kita komited membantu masyarakat Orang Asli yang terputus hubungan darat dan memerlukan bantuan udara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










