KUANTAN 28 Dis. – Barisan Nasional (BN) negeri kecewa dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan bahawa Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Sivarraajh merupakan seorang wakil rakyat yang memberi perkhidmatan cemerlang sepanjang menjadi Ahli Parlimen Cameron Hihglands selepas memenangi kerusi itu sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sudah tentu saya sedih dan kecewa dengan keputusan ini. Apatah lagi Datuk Sivarraajh telah terbukti seorang Ahli Parlimen yang bagus sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen sejak memenanginya pada PRU-14, 9 Mei lepas.
“Dengan keputusan SPR hari ini, saya perlu berbincang dengan kepemimpinan BN Pusat untuk menentukan tindakan selanjutnya. Perbincangan dengan Datuk Sivarraajh juga akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
SPR dalam kenyataannya hari ini berkata, Sivarraajh tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula dari 13 Disember lalu.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang mengumumkan status kelayakan tersebut berkata, Naib Presiden MIC itu juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya.
Keputusan itu, katanya, dibuat setelah mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu dan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2)(a).
Pada 18 Disember lalu, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran memaklumkan Sivarraajh merupakan antara calon yang akan disenarai MIC untuk dipertimbangkan bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari. – UTUSAN ONLINE










