Bilangan kerusi pun sedikit, mampukah jaga kepentingan Melayu? - Utusan Malaysia

Bilangan kerusi pun sedikit, mampukah jaga kepentingan Melayu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Cerita panas tentang pergolakan ‘kecil’ dalam kerajaan PH bukanlah sesuatu rahsia yang dapat disembunyikan lagi.

Ini kerana bukan rakyat sahaja menilai malah barisan pembangkang turut memerhati tindak-tanduk mereka yang baru memegang tampuk kerajaan.

Jika bercakap soal parti pula dengan mengetepikan PKR serta DAP, apa rasionalnya Bersatu sehingga terpaksa bergantung kepada ‘sampah’ UMNO yang jelas tidak akan memberikan kesan apa-apa.

Memetik kata-kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, sudahlah bilangan kerusi dalam Parlimen yang dimiliki Bersatu pun sedikit, mampukah parti itu menjaga kepentingan kaum Melayu?

Ujar Asyraf Wajdi, jika Bersatu sebuah parti yang kuat, mereka tidak akan sesekali tunduk kepada desakan DAP atau Ahli Parlimen bukan Islam terhadap isu-isu tertentu.

“Ini tidak. Apabila rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), UMNO dan Pas mula mempamerkan aksi yang tersendiri, barulah mereka mahu dengar kata.

“Sehubungan itu walaupun kerajaan PH sedang memerintah dan Bersatu adalah di dalamnya, ia bukanlah satu jaminan bahawa hak serta kepentingan kaum Melayu dapat dijaga dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian mengulas kenyataan Bersatu yang mahu dilihat sebagai kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat khususnya kaum Melayu dalam pelbagai aspek.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Azmi Hassan berpendapat, selagi status quo setiap parti dalam kerajaan PH masih kekal seperti hari ini, Bersatu hanya akan berhadapan dengan jalan buntu sahaja.

“Selagi PKR dan DAP mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam kerajaan PH, agenda Bersatu yang mahu menjaga kepentingan orang-orang Melayu pasti sukar untuk dilaksanakan.

“Perjuangan DAP yang langsung tidak berpaksikan untuk kepentingan kaum Melayu dan PKR pula tidak sebulat suara menyatakan agenda yang sama, perkara ini bukanlah sesuatu rahsia yang tidak diketahui umum lagi,” katanya.

Azmi turut menegaskan, biar pun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah orang kuat dari Bersatu, parti itu tetap dibayangi dua lagi parti dominan seperti DAP dan PKR.

“Jika dilihat pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang diadakan baru-baru ini, banyak hujah pemimpin parti itu yang memperjuangkan agenda Melayu dikritik kerana dianggap sebagai hujah jelmaan UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN