Bersatu tolak pemimpin pembangkang ingin pecahkan PH - Utusan Malaysia

Bersatu tolak pemimpin pembangkang ingin pecahkan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menimbang pemimpin pembangkang yang ingin menyertai parti itu dengan niat memecah-belahkan Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa yang ditubuhkan bagi meneliti dan menapis permohonan keahlian bekas pemimpin UMNO menegaskan, PH adalah satu pakatan yang kuat dan akan terus bersama-sama menerajui kerajaan.

“Kalau masuk dengan tujuan hendak pecah belahkan PH, no, thank you. Duduklah di kawasan masing-masing sekarang ini,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mukhriz turut menegaskan walaupun Bersatu mengalu-alukan kehadiran mereka, ia tidak bermakna Bersatu sebuah parti kecil yang tidak berkuasa sehingga memerlukan orang luar untuk memperkuat parti.

“Jangan fikir seolah-olah Bersatu ini kalau hendak kekal berkuasa dengan hanya 16 kerusi Parlimen perlu 30 hingga 40 kerusi lagi. Kita tidak sekali-kali akan melawan rakan-rakan dalam PH,” katanya. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN