PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memperjuangkan satu dasar agenda bumiputera baharu bagi memajukan orang Melayu dan bumiputera di negara ini secara menyeluruh.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk itu, beliau akan mencadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) agar agenda bumiputera dijadikan sebagai dasar teras PH sekali gus diterima oleh Kabinet untuk dilaksanakan sebagai satu agenda nasional.
Menurutnya, agenda bumiputera baharu itu akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama.
“Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama di mana tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan.
“Kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum, kelas serta wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu 2018 sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Muhyiddin berkata, orang Melayu dan bumiputera yang masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi mesti dibantu menerusi pelaksanaan dasar baharu itu untuk membolehkan mereka menikmati kemakmuran negara ini secara saksama.
“Ini termasuk usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi mereka dari segi peningkatan pendapatan isi rumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan dan kenaikan dalam kadar gaji, nilai simpanan serta pemilikan aset,” katanya.
Menurut Muhyiddin, tumpuan dasar baharu itu adalah untuk mewujudkan kesamaan hasil dan bukannya menyediakan kesamaan peluang semata-mata. – K! ONLINE










