MERBOK 27 Dis. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Merbok akan menyerahkan kesemua dokumen berkaitan 14 perkara yang diminta oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Kuala Lumpur, esok, bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu segera.
Ketuanya, Anuar Abdul Hamid berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan pegawai ROS melihat sendiri terhadap isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap perjalanan parti bahagian itu sebelum ini.
“Saya telah menyediakan pelbagai dokumen perlu dan pegawai ROS boleh melihat sendiri mengenainya. Sebagai pemimpin Bersatu di Bahagian Merbok, saya telah buat yang terbaik dalam usaha menjaga keahlian yang kini sudah mencecah 4,000 orang itu,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam, bahawa Bersatu Bahagian Merbok bakal berdepan tindakan pembubaran sementara berikutan surat Perintah Mengemukakan Maklumat mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 dikeluarkan ROS pada 10 Disember lalu.
Menurut Anuar, beliau telah menjawab surat Perintah Mengemukakan Maklumat kepada pihak ROS mengenai isu dibangkitkan sebaik sahaja menerima surat berkenaan, sebaik sahaja menerimanya pada 17 Disember lalu.
“ROS pula semasa menjawab surat itu pada 19 Disember telah bersetuju untuk melihat masalah yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan dan saya sendiri tidak keberatan untuk bersemuka bagi menyelesai permasalahan tersebut,” katanya.
Menjelaskan perkara itu, menurutnya, terdapat segelintir ahli parti Bersatu di Bahagian Merbok telah membuat aduan kepada pihak ROS mengenai beberapa isu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. – UTUSAN ONLINE










