Bersatu cadang Agenda Bumiputera teras kerajaan PH - Utusan Malaysia

Bersatu cadang Agenda Bumiputera teras kerajaan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Dis. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), akan memperjuangkan satu dasar Agenda Bumiputera baharu yang akan benar-benar dapat memajukan orang Melayu dan bumiputera seluruhnya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru berkata, beliau akan mencadangkan kepada Majlis Pakatan Harapan agar Agenda Bumiputera dijadikan Dasar Teras Pakatan Harapan dan diterima oleh Kabinet untuk dilaksanakan sebagai satu agenda nasional.

Beliau berkata, Agenda Bumiputera yang baharu itu akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama atau equitable shared prosperity.

“Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama di mana tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan.

“Kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Tahunan Srikandi dan Armada, dua sayap Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Yang turut hadir Ketua Srikandi , Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Armada, Sayed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam ucapan bertema “Era Baharu Perjuangan Melayu” itu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tumpuan dasar baharu itu ialah untuk mewujudkan kesamaan hasil (equal outcome) dan bukannya menyediakan kesamaan peluang (equal opportunities) semata-mata.

Tambah Muhyiddin lagi, dalam menjayakan Agenda Bumiputera , antara usaha penting yang mesti dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan ialah pembaharuan dan pemerkasaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk memperkasa ekonomi bumiputera seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Ekonomi Bumiputera.

“Agensi-agensi pelaksana Agenda Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun, PUNB, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Unit Penyertaan Bumiputera juga hendaklah diberikan nafas baharu dengan melaksanakan tadbir urus yang baik dan membanteras gejala rasuah dan ketirisan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, yang membezakan Agenda Bumiputera baharu ini dengan yang lama ialah dari segi pelaksanaannya.

“Kita akan pastikan pelaksanaannya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, telus dan bebas daripada amalan rasuah dan ketirisan.

“Selain itu, pemantauan secara berterusan juga akan dilaksanakan oleh sebuah badan yang mempunyai kuasa eksekutif untuk memastikan matlamat dasar ini dapat dicapai sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×