Berniaga bantu orang susah - Utusan Malaysia

Berniaga bantu orang susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERNIAGA untuk membantu orang susah. Itulah niat dan usaha yang dilakukan seorang usahawan, Azura Hashim. Tidak sampai hati melihat kesukaran peniaga kecil khususnya wanita memulakan perniagaan di bandar besar, Azura tekad mengeluarkan sendiri modal tanpa membuat pinjaman bank bagi membantu golongan tersebut.

Dengan duit yang disimpan daripada perniagaan terdahulu di Seven Pavilion yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Azura menyewa sebuah bangunan tiga tingkat di kawasan yang sama. Selain itu, dua unit kedai yang terletak bersebelahan bangunan itu turut disewanya. Sejujurnya beliau tidak pernah terfikir untuk membuka lebih daripada sebuah kedai, namun itulah yang dikatakan rezeki. Jika niat ikhlas untuk membantu, pastinya laluan ke arah itu sentiasa terbuka luas.

Semua itu dilakukan bagi memberi laluan kepada 13 vendor yang kini menjalankan perniagaan di ruang yang disewanya di bangunan yang dinamakannya Queen Pavilion. Konsep perniagaan yang dijalankannya adalah bazar-butik.

“Sewa seunit kedai di deretan bangunan ini adalah kira-kira RM13,000 sebulan. Bagi peniaga kecil, kadar sewa itu terlalu tinggi dan mereka tidak mampu menyewanya.

“Saya terfikir kenapa tidak saya menyewa keseluruhan bangunan, kemudian menawarkan ruang-ruang kecil dalam unit-unit kedai di bangunan ini kepada peniaga kecil. Niat saya adalah untuk menolong mereka meraih pendapatan daripada perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, setiap ruang niaga itu disewakannya kepada peniaga kecil pada kadar RM2,500 hingga RM4,500 sebulan, bergantung pada saiz dan kedudukan ruang sama ada terletak dekat pintu hadapan atau ruang belakang.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu. Inilah niat asal saya untuk berniaga. Pada hari biasa, purata jualan vendor di Queen Pavilion adalah antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan. Tetapi kalau musim Hari Raya Aidilfitri, jualan boleh mencecah antara RM800,000 hingga RM1 juta,” katanya.

Menurutnya, jumlah jualan bergantung pada saiz ruang yang disewa, misalnya kalau keluasan ruang yang disewa itu kira-kira 40 kaki persegi, maka pengusaha terbabit boleh meraih sekitar RM400,000 sepanjang musim perayaan,” katanya.

Wanita berusia 43 tahun itu memberitahu, koleksi pakaian, tudung, aksesori dan lain-lain untuk jualan hari raya akan mula masuk ke kedai pada bulan Januari ini.

“Tak boleh lewat, kalau tidak kita akan ketinggalan,” katanya yang turut membuka sebuah butik di tingkat bawah bangunan tersebut. Butik yang dinamakan Zuerey Design itu mengambil ruang di aras lantai bangunan Queen Pavilion.

Mengulas lanjut katanya, beliau turut menyewakan ruang di tingkat tiga kepada pengusaha kedai jahit yang menawarkan khidmat menjahit pakaian secara pukal.

“Saya juga menggunakan khidmat yang sama iaitu semua pakaian yang dijual di Zuerey Design dijahit di kedai itu. Ada 15 tukang jahit mahir bekerja di kedai itu,” katanya yang mengilhamkan sendiri rekaan pakaian yang dijual di butiknya.

Katanya, beliau menggunakan kain yang dibeli dari Indonesia, China, Vietnam, India dan Thailand.

“Kalau di Indonesia, saya beli kain di Tanah Abang atau Majestic, Jakarta,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, beliau juga menjalankan bisnes untuk membantu keluarga. Katanya, apabila abang dan kakaknya bercerai, kesemua anak-anak mereka tinggal bersamanya di Saujana Utama, Sungai Buloh.

Menurutnya, di rumahnya kini ada 13 orang yang perlu disara dan beliau berterima kasih kepada suami yang memahami dan sentiasa menyokong perjalanan perniagaan yang diceburinya.

“Anak abang ada lima orang, anak kakak pula dua orang manakala anak saya sendiri, seorang. Selain itu, saya juga menjaga ibu di rumah. Jika dihitung jumlah yang tinggal bersama saya dan suami ialah 13 orang termasuk pembantu rumah.

“Saya bukan buat bisnes nak untung juta-juta. Cukup sekadar dapat menolong keluarga dan mereka yang mahu memulakan perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×