Belum ada keputusan untuk naikkan tambang bas ekspres - Utusan Malaysia

Belum ada keputusan untuk naikkan tambang bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kementerian Pengangkutan masih belum mempunyai keputusan untuk dibawa ke Kabinet berhubung pertimbangan menaikkan kadar tambang bas ekspres antara 10 hingga 30 peratus.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihak kementerian pada dasarnya bersimpati dengan kos tinggi operasi syarikat bas dalam menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam kepada pelanggan.

“Setakat ini belum ada keputusan untuk dibawa ke Kabinet, kementerian bersimpati dengan syarikat bas kerana keadaan yang dilalui oleh pekerja mereka serta pemandu-pemandu.

“Sebelum ini kita ada mempertimbangkan untuk menaikkan kadar 10 hingga 30 peratus namun usah khuatir jika naik pun (mungkin) secara minimum,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom.

Pada bulan lalu, Kamarudin ketika dipetik berkata, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus dan kementeriannya menimbangkan kenaikan munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata, dalam pelaburan terbaru ini pihak E-Mutiara membeli 19 buah bas baharu jenama Scania dengan nilai kira-kira RM20 juta.

“Kita mempunyai hubungan yang sangat unik dengan Scania sejak 22 tahun lalu. Bas baharu ini dilengkapkan dengan teknologi yang menjimatkan penggunaan minyak sehingga lima peratus.

“Selain mendidik pemandu bas mengenai ciri-ciri keselamatan kenderaan dan penumpang, bas baharu ini juga mesra alam dengan pengeluaran gas karbon yang berkurang,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×