Bekalan petrol, diesel di P. Pinang dijamin mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan petrol, diesel di P. Pinang dijamin mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 31 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bekalan minyak petrol dan diesel di negeri ini mencukupi menjelang tahun baharu 2019.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, jaminan itu berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan pihaknya terhadap bekalan bahan bakar tersebut di stesen-stesen minyak seluruh negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya sejak 26 Disember lalu mengadakan pemeriksaan mengejut di sebanyak 102 daripada 202 buah stesen minyak di negeri ini bagi memastikan pemegang lesen runcit petrol mematuhi syarat lesen masing-masing.

“Pemeriksaan berterusan ini berikutan kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan bekalan petrol di stesen minyak akan kering disebabkan penetapan harga baharu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kita memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku di negeri ini dan kesemua pengusaha stesen minyak yang kita pantau mematuhi peraturan bekalan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan bekalan petrol di sebuah stesen minyak di Jelutong, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan menggesa orang ramai melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati terdapat mana-mana stesen minyak yang kehabisan bekalan petrol selepas penetapan harga baharu kelak.

Katanya, laporan itu boleh dibuat menerusi pelbagai saluran seperti portal e-aduan KPDNHEP; di talian 1800-886-800; aplikasi Ez ADU KPDNHEP atau menerusi WhatApps di nombor 019-2794317.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana pengusaha yang gagal memastikan bekalan petrol mencukupi atau menutup operasi tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika sabit kesalahan, pengusaha boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan kedua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN