SEREMBAN – Pengguna lebuh raya dinasihati tidak perlu panik kerana bekalan diesel dan petrol di seluruh negara mencukupi susulan pemeriksaan ke atas 1,757 stesen minyak setakat semalam, mendapati stok minyak tidak akan kering.
Ketua Seksyen Bekalan Harga Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Abd Hafidz A Rahim berkata, seramai 2,300 pegawai penguatkuasa terlibat dalam operasi pemeriksaan stesen minyak yang bermula 26 Disember lepas hingga Ahad ini.
“Kami beri jaminan bekalan petrol dan diesel terutama di Lebuh Raya PLUS dan Lebuh Raya Karak serta jalan utama di seluruh negara mencukupi.
“KPDNHEP juga memberi amaran supaya stesen minyak jangan kehabisan bekalan untuk pengguna dan pastikan bekalan sentiasa ada dan dijual pada harga yang ditetap kerajaan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, stesen minyak yang didapati dengan sengaja tidak menjual petrol dan diesel atau menutup stesen minyak tanpa kebenaran KPDNHEP akan diambil tindakan. – Bernama









