KUALA LUMPUR 27 Dis. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM2.896 bilion dalam rancangan perbelanjaan dan pembangunan tahun depan yang bertemakan ‘Kuala Lumpur Sejahtera, Harapan Warga Kota’.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sebanyak RM1.694 bilion atau 58.5 peratus daripada jumlah itu adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.202 ( 41.5 %) untuk tujuan pembangunan.
“Secara keseluruhan, peruntukan Bajet 2019 bagi pengurusan yang disediakan DBKL menurun sebanyak 3.7 peratus namun meningkat sebanyak 4.9 peratus dalam sektor pembangunan berbanding pada tahun ini.
“Perkara utama yang perlu diambil perhatian dalam Bajet 2019 ini adalah memastikan warga kota menikmati kesejahteraan kehidupan di bandar dalam persekitaran berkualiti, selamat serta gaya hidup yang sihat,” katanya dalam ucapan Bajet DBKL 2019 di sini hari ini.
Ringkasan Peruntukan Mengurus dan Pembangunan 2019
1) RM70.5 juta : Program penghijauan dan penyelenggaraan taman awam, padang tanah lapang serta taman permainan.
2) RM12 juta : Naik taraf Taman Tasik Permaisuri, Taman Botani Tasik Perdana dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.
3) RM124.1 juta : Menyelenggara jalan raya, cerun, sungai, longkang dan lorong sekitar Kuala Lumpur.
4) RM308.3 juta : Kerja-kerja pembinaan, penyuraian serta naik taraf jalan raya
5) RM259.5 juta : Kerja-kerja perparitan dan saliran seluruh kawasan di Kuala Lumpur
6) RM124 juta: Projek penyuraian trafik serta kerja-kerja naik taraf Jalan Tun Razak di Bulatan Pandan.
7) RM6.5 juta : Projek membina laluan basikal di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak dan Taman Tun Dr. Ismail.
8) RM142 juta : Membaiki dan menyelenggara rumah-rumah pangsa melibatkan kerja-kerja awam, elektrik, mekanikal, kerja lif dan kontrak pembersihan.
9) RM66.2 juta : Pembangunan dan pembinaan pasar dan pusat penjaja di seluruh kawasan Kuala Lumpur.
10) RM15.1 juta : Projek naik taraf perpustakaan DBKL di seluruh Kuala Lumpur










