Bahana bertentang mata - Utusan Malaysia

Bahana bertentang mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING 13 Dis. – Gara-gara bertentang mata selama 10 saat dengan seorang wanita yang tidak dikenalinya, seorang lelaki sanggup berhenti kerja dan menunggu selama lebih 50 hari di sebuah kedai buku di sini semata-mata ingin berjumpa semula dengan cinta pertamanya itu.

Oddity Central melaporkan, lelaki berusia 26 tahun itu memberitahu bahawa dia jatuh cinta pandang pertama dengan seorang wanita misteri selepas berjumpa dengan individu berkenaan di sebuah kedai buku, September lalu.

Sejak peristiwa itu, lelaki tersebut akan pergi ke kedai buku berkenaan setiap hari dan menunggu wanita idamannya muncul dari pukul 11 pagi hingga pukul 7 malam.

Pada masa sama, lelaki yang dikenali sebagai Sun itu turut mengedarkan lukisan tangan wajah wanita itu ke kedai buku yang lain.

“Saya ternampak wanita idaman saya ketika berada di kedai buku. Namun saya tidak dapat menegurnya kerana ketika itu saya sedang keluar bersama seorang wanita lain,” katanya.

Sun memaklumkan dia tidak dapat melupakan wanita itu sejak terpandangnya buat kali pertama.

Disebabkan Sun sudah berhenti kerja, dia terpaksa me­minjam duit daripada rakan-rakan dan keluarganya untuk berbelanja dan pergi ke kedai buku setiap hari.

Namun, lelaki itu mendakwa dia tidak menyesali keputusannya untuk berhenti.

Sun juga memberitahu bahawa dia tidak kisah sekiranya wanita idamannya tidak menyukainya atau mereka tidak menjadi pasangan serasi.

Selepas lebih 50 hari me­nunggu kedatangan wanita itu, Sun membuat keputusan untuk mengemukakan tuntutan saman terhadapnya kerana didakwa menyebabkan gangguan emosi.

Tetapi, mahkamah menolak tuntutan tersebut kerana Sun tidak mempunyai butiran maklumat wanita berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×