KUALA LUMPUR 16 Dis. – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi bayangan bahawa beliau setuju jika Perhimpunan Agung UMNO Khas diadakan bagi membincangkan untung nasib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO itu dalam laman Instagram mencadangkan agar UMNO bahagian seluruh negara mengusulkan perhimpunan tersebut.
“Bahagian-bahagian boleh usulkan persidangan khas,” katanya, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan tetap dengan pendiriannya untuk tidak tunduk terhadap desakan segelintir golongan yang mahu dirinya meletakkan jawatan dalam parti.
Beliau akan patuh hanya kepada peraturan dan Perlembagaan UMNO bagi mendapatkan dua pertiga majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas untuk menentukan dirinya kekal atau mengundurkan diri.
Ahmad Zahid juga akur dengan permintaan ahli-ahli akar-umbi yang mahu UMNO terus dimantapkan dan mendukung UMNO semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE










