Azwanddin direman empat hari - Utusan Malaysia

Azwanddin direman empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kenyataan provokasinya semasa berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P. Waytha Moorthy, di Dataran Seni Klang dekat sini, Selasa lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan kira-kira pukul 10.15 pagi.

Terdahulu, Azwanddin tiba di perkarangan mahkamah memakai kemeja berwarna biru pada pukul 9.10 pagi menaiki sebuah trak polis.

Beliau yang juga Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) direman serta disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili aktivis itu berkata, pihaknya menggesa supaya pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk penganjur yang mengadakan perhimpunan sehingga tercetusnya perkara tersebut.

“Pegawai penyiasat telah mengemukakan sebab-sebab kenapa beliau (Azwanddin) ditahan reman selama empat hari kerana mereka memerlukan siasatan terperinci dan memerlukan laporan risikan berkenaan dengan dirinya.

“Kita telah membuat bantahan dan sebagai peguam dan pengamal undang-undang bahawa tidak sepatutnya mengambil tempoh terlalu lama.

“Justeru, kita berharap dalam tempoh empat hari, polis berjaya menyelesaikan segala proses dokumentasi dan membebaskan beliau walaupun tidak cukup empat hari,” ujarnya.

Kosmo semalam melaporkan, Polis Se­langor menahan Azwanddin bagi membantu siasatan susulan kenyataannya yang berunsur provokasi ketika berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P. Waytha Moorthy, di Dataran Seni Klang dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Azwanddin ditahan kira-kira pukul 2.40 petang semalam di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Aktivis terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana melakukan penghinaan ke atas individu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×