“BAGAI, bila tabuh dipalu, tiupan nafiri dimainkan, yang capik datang bertongkat, yang buta teraba-raba, yang tuli leka bertanya, yang jarak tolak-tolakan, yang rendah bertinjau-tinjau, yang dara duduk bersimpuh, yang teruna duduk bersila,”
Jika kehadiran berduyun-duyun, maka tidak ada yang lebih masyhur melainkan puisi lama tersebut. Lakaran bahasa talibun itu bukan sahaja indah tetapi terus menangkap minda terbayang kehadiran dalam upaya masing-masing.
Begitulah juga, gambarannya kepada siri perhimpunan aman sedekad sebelum merdeka yakni dalam fasa penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union sehingga perlembagaan yang meminggirkan raja dan orang Melayu digantikan pada 1948.
Detik bersejarah penentangan kepada keangkuhan penjajah Inggeris ini bermula dengan Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 Mac 1946 yang mencetuskan perpaduan orang Melayu.
Begitu jugalah apabila Tunku Abdul Rahman Putra pulang dari London, sekali lagi puisi itu digunakan menggambarkan ramainya rakyat berkumpul di Padang Pahlawan, Melaka pada 20 Februari 1956 meraikan berita gembira kemerdekaan negara.
Dan hari ini, di ibu negara, sekali lagi berduyun-duyun rakyat khususnya umat Melayu Islam berkumpul mengikut upaya masing-masing demi tujuan sama iaitu mempertahankan hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berhimpun bersyukur kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan pada masa sama, mahukan #DaulatHimpunan812 menunjukkan mesej jelas, jangan sesekali ada cubaan menggunakan pintu belakang bagi menghakis apa sahaja hak sah dalam Perlembagaan.
Jangan diusik Perkara 153 menerusi ICERD kerana bukan sahaja menyentuh hak istimewa Melayu bahkan kedudukan raja-raja sebagai pelindung peruntukan itu turut terlibat.
Maka hari ini, jelmaan apa yang berlaku ketika umat Melayu menentang Malayan Union amat jelas. Jika hanya mampu bermotosikal, maka beroda dualah membelah Lebuh Raya Utara Selatan menempuh perjalanan panjang ke ibu negara.
Tidak terkecuali ada yang berbasikal selain berkereta dan mengikuti rombongan dari setiap penjuru tanah air. Usah difikir di mana tubuh berehat malam ini, di masjid mahu pun di kaki lima yang penting hadir dengan tujuan yang satu, pertahan Perlembagaan. Perseteruan politik yang memisahkan selama ini juga ditinggalkan.
Ingatlah pesan Datuk Onn Jaafar dalam Kongres Melayu Pertama yang menjadi titik penting bermulanya penyatuan penentangan Malayan Union.
“Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap berbahaya dengan bersatu hati.”










