KUALA LUMPUR 21 Dis. – Di sebalik kebimbangan orang ramai terhadap aset mahupun pelaburan kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi jaminan pihaknya membuat penelitian yang mendalam sebelum mengambil sebarang keputusan melibatkan aset miliknya.
Ini susulan tindakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melupuskan 16 peratus pegangannya dalam IHH Healthcare Bhd. (IHH) bernilai RM8.42 bilion kepada syarikat Jepun, Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) bulan lalu. Tindakan itu menyaksikan Mitsui muncul pemegang saham terbesar dalam IHH dengan menguasai pegangan sebanyak 32.9 peratus.
Selain itu, tragedi yang menimpa Lembaga Tabung Haji baru-baru ini turut membimbangkan semua pihak tentang sejauh mana ketelusan dan tadbir urus sesebuah organisasi dalam membuat sesuatu pelaburan dan memastikan pulangan yang baik.
Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB harus memberi keutamaan kepada para pelabur yang disifatkan sebagai hak milik awam dan walaupun aset berkenaan dilupuskan ia tidak memberi kesan kepada kewangan kerajaan.
Katanya, PNB membuat penilaian berdasarkan prospek industri yang melibatkannya dan juga potensi untuk melaksanakan penstrukturan semula termasuk tranformasi organisasi dan pelupusan sebahagian daripada entiti industri berkenaan berbanding membuat pelupusan secara menyeluruh.
“Kami membuat penilaian yang sangat berhati-hati dan kadang-kadang apabila entiti ini distrukturkan semula, kami mempunyai program penciptaan nilai yang aktif untuk mereka supaya boleh dipulihkan sekali gus menjana pulangan lebih baik kepada pelabur.
“Saya tegaskan sekali lagi, sebarang tindakan pelaburan PNB kami perlu mengutamakan pemegang unit amanah yang mana dalam kes entiti lain seperti Khazanah, ia dimiliki oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Prestasi PNB bagi 2018 dan mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM295.2 bilion manakala Pendapatan Bersih proforma dan unit amanah sahamnya pula ialah RM15.3 bilion bagi tempoh 11 bulan pertama tahun kewangan.
Dalam masa sama, PNB terus mengekalkan keyakinan pelabur dengan memberi pulangan kompetitif kepada pemegang unit dengan jumlah bayaran RM15.1 bilion merangkumi semua dana untuk tahun ini.
Kajian separuh penggal
Menurut Zeti, pada tahun hadapan, PNB merancang untuk menjalankan Kajian Separuh Penggal Rancangan Strategik dengan tumpuan kepada bidang peruntukan aset strategik, pengurusan risiko organisasi dan transformasi organisasi.
Katanya, ia juga termasuk mempercepatkan kepelbagaian portfolio pelaburan kepada aset dengan hasil lebih tinggi.
“Setakat November 2018, portfolio PNB merangkumi 71.2 peratus bagi ekuiti awam, 16.9 peratus (tunai), 6.6 peratus (pendapatan tetap), 2.8 peratus (hartanah) dan 2.1 peratus (pelaburan swasta).
“Setakat November ini, pelaburan PNB membabitkan 96.9 peratus di peringkat domestik manakala selebihnya di luar negara,” katanya.
PNB 118
Mengenai Menara PNB 118, beliau berkata, pembangunan tersebut sudah mencapai 42 tingkat dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Setakat ini, ia menunjukkan perkembangan yang baik dan kami sedang berbincang dengan beberapa penyewa yang berpotensi. Saya percaya setakat ini, hampir 50 peratus penyewa akan dimuktamadkan,” katanya.
PNB 118 dibangunkan di kawasan Stadium Merdeka dengan kawasan seluas 5.6 hektar.










