KUALA LUMPUR 26 Dis. – Agenda Melayu baharu di dalam era Malaysia baharu merupakan antara intipati perbincangan yang akan diberikan tumpuan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ini.
Ini termasuk perbincangan berkenaan bagaimana orang Melayu perlu mengambil pertimbangan untuk melakukan perubahan dari segenap aspek termasuk pengaruh serta gangguan dan tidak lagi terus mengharapkan perlindungan daripada kerajaan.
Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff turut menggariskan empat asas iaitu kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang perlu dihadapi secara serius dalam mengubah orang Melayu.
“Pertama, kekuatan Melayu khususnya Melayu baharu yang berpunca daripada kehendak mereka untuk mengembalikan maruah selepas bertahun dirosakkan oleh pemerintah lalu. Tiada yang lebih hebat daripada kehendak dan hasrat untuk berubah serta membuka lembaran baharu selepas lama bersabar.
“Kedua, apabila ada yang mahu membuka lembaran baharu, masih terdapat elemen UMNO dan Pas yang telah membentuk perjanjian untuk berusaha mengajak mereka kembali kepada sentimen lama, kleptokrasi dan cara berbahaya sambil menanti berlangsungnya pilihan raya umum 2023,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Rais Hussin menambah, asas seterusnya peluang baharu yang kini terbuka luas buat organisasi seperti Bersatu selepas Malaysia menolak kerajaan kleptokrasi serta kakistokrasi dengan meletakkan individu berkelayakan dan berkebolehan berbanding ahli politik di dalam agensi milik kerajaan.
Ujarnya, terakhir sekali adalah ancaman kepada Melayu dan bumiputera yang datang dalam bentuk ‘pseudo Islam’ dan dipercayai dimainkan oleh Pas serta UMNO sebagai contoh dalam sambutan Hari Krismas.
Dalam pada itu, Rais Hussin menegaskan, kejadian 9 Mei 2018 boleh menjadi indikator kepada kemarahan rakyat terhadap kerajaan dan oleh sebab itu Malaysia perlu mencari jalan untuk berubah kepada negara baharu yang menolak kepada unsur-unsur seperti rasuah.









