FLORIDA 27 Dis. – Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) giat mencari seorang kru kapal warga British yang dipercayai terjatuh dari kapal pesiaran milik Royal Caribbean Cruises Ltd di Lautan Atlantik.
Menurut jurucakap yang dipetik Reuters, Arron Hough, 20, dipercayai terjatuh 430 kilometer di barat laut Puerto Rico awal semalam.
Ketika kejadian, kapal Harmony of the Seas itu sedang belayar dari pelabuhan Fort Lauderdale, Florida ke perhentian pertama di pulau St. Maarten, sebahagian daripada jadual tujuh hari perjalanan kapal pesiaran itu ke Caribbean, lapor akhbar Miami Herald.
Pengawal Pantai berkata pihaknya masih meneruskan operasi mencari Hough menggunakan kapal terbang dan bot laju.
Royal Caribbean Cruises berkata mangsa yang hilang itu adalah anggota kru hiburan di kapal pesiaran Harmony of the Seas dan tidak hadir ke tempat kerja sejak semalam. – REUTERS









