PUTRAJAYA 30 Dis.- Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengecam cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar ketua bahagian dan ketua cawangan parti diberikan projek kerajaan.
Selain menolak keras kenyataan itu, Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamuddin menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perkara itu berlaku dalam Bersatu.
“Pemberian projek dan kontrak mestilah mengikut kelayakan, tetapi jika tidak ikut prosedur, Armada menentang habis-habisan.
“Malah kami menolak pemberian projek kerajaan untuk membiayai perjalanan parti, sedangkan kita ada cara lain untuk berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Rashid ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu mencadangkan ketua bahagian dan ketua cawangan mesti memperoleh lebih wang menerusi pemberian projek kerajaan. – UTUSAN ONLINE










