KALAU dilihat kepada gambar yang mengiiringi berita berjudul: 70 peratus B40 diterima masuk MRSM. Jelas kelihatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun takut-takut hendak menggunting rambut budak terbabit.
Sedang budak tersebut dengan muka selamba sahaja meletakkan keyakinan bahawa menteri akan menggunting rambutnya dengan baik, tanpa dia sedari menteri bukanlah seorang tukang gunting.
Begitulah anak-anak meletakkan masa hadapan dan harapan kepada pemimpin serta kerajaan.
Bagi saya keputusan yang dibuat oleh kerajaan hari ini mengutamakan anak dari kalangan orang miskin memasuki sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah satu keputusan yang berani dan tepat.
Kenapa saya kata tepat dan berani? Daripada pemerhatian dan pengamatan sebelum ini kebanyakan sekolah berkenaan sebelum ini didominasi oleh anak-anak daripada golongan berada dan berkebetulan sangat bijak dengan memperolehi keputusan peperiksaan sangat cemerlang.
Sangat jaranglah anak-anak kampung yang miskin mampu untuk bersaing dengan anak-anak golongan berkenaan kerana kurangnya kemudahan dan pendedahan.
Anak-anak miskin inilah yang memerlukan sekolah yang terbaik untuk melonjak bakat serta kebolehan mereka ke tahap tertinggi, berbanding anak-anak orang berada sudah mempunyai segalanya.
Jika sebelum ini sekolah-sekolah berasrama penuh ini merupakan satu ganjaran kepada anak-anak yang cemerlang termasuk dalam kalangan orang berada, kini MRSM kembali kepada tujuan asal ia ditubuhkan.
Ini bukan bermakna peluang anak-anak dalam kalangan orang berada ini ditutup peluang untuk mendapat pendidikan terbaik. Selain sekolah swasta, mereka juga masih boleh menempatkan diri di sekolah berasrama dan berasrama penuh lain yang tidak kurang hebat dan diiktiraf sebagai sekolah kluster kecemerlangan.
Sekolah harian biasa juga tidak kurang hebatnya melahirkan pelajar cemerlang dan guru-gurunya juga tidak pernah surut semangat mendidik anak-anak murid serta pelajar mencapai kecemerlangan.
Tahniah saya ucapkan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun. – UTUSAN ONLINE










