PANDEGLANG, Indonesia – Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 400 nyawa pada minggu lalu dilaporkan hilang dua pertiga ketinggiannya disebabkan letusan.
Sebahagian kawah gunung berapi Anak Krakatau runtuh selepas satu kejadian letusan dan menggelongsor ke dalam laut lalu mencetuskan bencana tsunami pada malam Sabtu minggu lalu.
Satu analisis visual oleh agensi vulkanologi Indonesia mendapati gunung berapi tersebut hilang dua pertiga daripada ketinggiannya, kata seorang pegawai semalam.
Gunung berapi Anak Krakatau yang sebelum ini memiliki ketinggian 338 meter (m) kini hanya tinggal 110m.
Agensi tersebut turut mengganggarkan bahawa gunung berapi itu hilang antara 150 hingga 180 juta kubik meter selepas sejumlah besar batu dan debu menggelongsor secara perlahan-lahan ke dalam laut akibat beberapa siri letusan.
“Anak Krakatau kini lebih rendah, biasanya kami boleh melihat puncaknya dari menara tinjau, kini tidak lagi,” kata pegawai kanan agensi itu, Wawan Irawan kepada agensi berita AFP.
Imej satelit yang dirakam oleh agensi angkasa lepas Jepun menunjukkan keadaan sebelum dan selepas letusan berlaku, ia menunjukkan dua bahagian gunung berapi seluas dua kilometer persegi tenggelam ke dalam laut.
Gunung berapi yang dinamakan sebagai Anak Krakatau merupakan sebuah pulau baharu yang terbentuk sekitar tahun 1928. Ia terhasil daripada kawah gunung berapi Krakatau selepas satu letusan besar pada tahun 1883 yang mengorbankan kira-kira 36,000 orang. – AFP










