BAGHDAD 27 Dis. – Presiden Donald Trump mengambil kesempatan daripada lawatan mengejut pertama beliau ke zon konflik di Iraq untuk mempertahankan keputusan Amerika Syarikat (AS) berundur dari Syria sekali gus mengisytiharkan berakhirnya peranan AS sebagai ‘polis dunia’.
Presiden AS itu tiba di Pangkalan Udara Al-Asad di barat Iraq pada pukul 7.16 malam waktu tempatan, ditemani isterinya, Melania.
Ini merupakan kunjungan pertama beliau ke pangkalan tentera udara AS itu sejak dilantik sebagai Presiden dua tahun lalu.
Pemimpin AS itu sempat berucap di depan 100 anggota pasukan khas AS dan mengadakan pertemuan berasingan bersama pemimpin tentera sebelum berlepas beberapa jam kemudian.
Rancangan untuk bertemu Perdana Menteri Iraq, Adel Abdel Mahdi terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan perbualan menerusi telefon, jelas pejabat Perdana Menteri itu.
Jurucakap White House, Sarah Sander berkata, dalam perbualan itu, Trump mengundang Adel melawat Washington dan perkara itu mendapat maklum balas positif.
Trump dikritik hebat selepas dikatakan enggan melawat anggota tentera AS di pangkalan berkenaan sejak dilantik sebagai Presiden.
Beliau akhirnya berkunjung ke Al-Asad susulan keputusan kontroversi beliau untuk mengurangkan tentera AS di Afghanistan dan berundur sepenuhnya dari Syria.
“Adalah tidak adil untuk kita menanggung semua bebanan itu. Kita tidak mahu negara-negara terbabit terus mempergunakan kehebatan ketenteraan kita untuk melindungi mereka. Ini mengarut,” katanya. – AFP









