KUALA LUMPUR 20 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji dan melaksanakan undang-undang baharu bagi menjaga kepentingan pihak penyumbang dalam program Food Bank Malaysia yang akan dilancarkan Sabtu ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, undang-undang tersebut dijangka akan digubal selewat-lewatnya tahun depan menerusi pengenalan akta baharu.
Katanya, apa yang penting adalah undang-undang tersebut secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada semua pihak termasuk menentukan garis panduan kelompok penerima program berkenaan.
“Kita tiada undang-undang yang jelas. Kebimbangan wujud dalam kalangan pelbagai pihak terutama syarikat antarabangsa. Sebagai contoh, penyumbang memberi minuman dan selepas itu penerima terkena penyakit serta mahu menyaman pihak terlibat.
“Ini adalah satu daripada punca mengapa ada syarikat yang keberatan menyertai program ini. Sebab itu perlu adanya akta untuk melindungi mereka dan ia akan menjadi undang-undang good samaritan law,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Ibrahim Yahaya; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Rozaman Ismail dan Pengarang Kanan Media Baharu, Aznan Bakar.
Program Food Bank Malaysia yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 190,000 keluarga di negara ini, akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya di semua negeri tahun depan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan kualiti makanan yang diterima dan memberi jaminan sepenuhnya terhadap setiap hidangan berkenaan.
“Saya tahu ini merupakan cabaran terbesar untuk meyakinkan orang ramai. Oleh itu, saya jamin semua makanan tersebut segar dan boleh dimakan.
“Pasar raya dan hotel tidak menggunakannya hanya kerana polisi. Saya telah jalankan projek seumpama ini di Pulau Pinang sejak tahun lalu dan lebih 25,000 keluarga terima manfaat. Setakat ini kita tidak menerima rungutan atau laporan akibat keracunan makanan,’’ ujarnya.










