DUNGUN 27 Dis. – Fenomena air surut luar biasa di Kuala Sungai Dungun, sejak seminggu lalu menggemparkan penduduk sekitar kerana ia dikatakan yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut.
Kejadian tersebut turut tular di laman sosial seperti Facebook dan aplikasi Whatsapps di mana video yang telah dimuatnaik menunjukkan seorang pemuda berjalan di atas tebing pasir di tengah sungai tersebut yang keluasannya dianggarkan melebihi satu kilometer persegi.
Bagi penduduk setempat, kejadian tersebut merupakan satu fenomena yang pertama kali berlaku sejak 30 tahun dahulu kerana sebelum ini meskipun air surut, beting pasir di kawasan itu tidak boleh dilalui.
Seorang nelayan, Harun Ali, 56, berkata, kejadian yang berlaku sekitar pukul 1 tengahari hingga 5 petang, dua hari lalu itu adalah pertama kali dilihat di depan matanya sendiri sejak menjadi nelayan 30 tahun lalu.
Menurutnya, kejadian tersebut menimbulkan sedikit kebimbangan baginya kemungkinan berlaku bencana di kawasan berkenaan.
“Memang tak pernah jadi macam ni, kalau air surut sebelum ini sesiapa pun tak boleh lalu dekat kawasan tersebut.

“Risau juga kalau fenomena ini merupakan petanda awal bencana akan berlaku di kawasan ini lebih-lebih lagi kita pun baharu dikejutkan dengan bencana tsunami di Selat Sunda, Indonesia,” katanya.
Bagi Sudin Salim, 56, pula mengakui dia terkejut dengan kejadian itu kerana sebelum ini jika air surut, beting pasir di tengah sungai memang tidak boleh dilalui oleh sesiapa kerana ia masih ditenggelami air. – UTUSAN ONLINE










