TIADA kata-kata mampu diungkapkan, hanya deraian air mata menzahirkan perasaan Nurul Najihah Mohd. Radzi tatkala melihat jenazah tunangnya diusung dalam keranda yang dilitupi Jalur Gemilang dan bendera pasukan bomba.
Begitu juga di tanah perkuburan, air mata gadis berusia 25 tahun yang sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, semalam masih tidak henti-henti sehingga berkali-kali terpaksa ditenteramkan.
Dia mengenggam erat sehelai kain batik berwarna biru gelap dan kain pelekat biru cerah yang turut membaluti jasad tunangnya sebelum diturunkan ke liang lahad.

Matanya bengkak dan kelihatan tidak bermaya setelah 21 hari mengharapkan khabar gembira dan keajaiban buat sang arjuna yang sepatutnya melayari bahtera rumah tangga bersama.
Namun, takdir Allah menentukan segalanya. Mahligai indah yang diimpikan selepas mengikat tali pertunangan dengan anggota bomba itu berakhir dengan hanya jasad yang terbaring kaku.
Nurul Najihah atau mesra disapa Jieha dalam keluarganya terpaksa menerima hakikat yang sememangnya pedih buat sesiapa sahaja, apatah lagi tunangannya itu pergi ke negara abadi dalam keadaan menyayat hati.
Perasaan hiba bukan sahaja dirasai Nurul Najihah dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib, tetapi seluruh negara berduka dengan pemergian wira merah itu yang menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.41 malam, Isnin lalu.
Sepatutnya, semalam, hari ini dan esok akan menjadi kenangan indah pasangan itu kerana tarikh tersebut merupakan hari pernikahan dan persandingan mereka berdua yang telah dirancang sekian lama.

Namun apakan daya, lima hari menjelang hari bahagia, bukan sepersalinan pakaian pengantin disarung mereka tetapi hanya kain kafan berwarna putih yang membaluti jasad Allahyarham Muhammad Adib.
Nurul Najihah yang masih tidak dapat menerima hakikat itu hanya mampu meluahkan isi hatinya menerusi akaun media sosial miliknya.
“Kita balik sama-sama, tapi abang dalam keadaan kaku,” coret anak kedua daripada empat beradik dalam laman Instagram miliknya pada malam 17 Disember sebaik sahaja disahkan Muhammad Adib telah pergi buat selama-lamanya.

Keesokan harinya, memang sepatutnya pasangan itu pulang ke Kedah bersama-sama untuk melakukan persiapan terakhir menjelang hari perkahwinan pada 22 Disember (hari ini) di sebelah keluarga perempuan, diikuti majlis resepsi pihak lelaki keesokannya, Ahad.
Kad undangan sudah siap dicetak, sebahagiannya sudah diedar dan persiapan juga sudah mengikut rencana, tetapi semua itu kini hanya tinggal kenangan yang paling syahdu di lubuk hati paling dalam Nurul Najihah.
Dalam laman sosial Facebook, Nurul Najihah terus meratap: Beliau menulis: “Al-Fatihah Kudip (Muhammad Adib). Esok (18 Disember), kita sama-sama cuti untuk balik kampung untuk wedding (perkahwinan) kita.
“Ya abang. Kita balik sama-sama. Patutnya kita balik drive (berkereta). Tapi orang balik juga dengan abang, tapi abang dalam keadaan kaku,” hati kecilnya berkata lagi.
Dalam laman sosial yang sama, ungkapan ‘No matter what happens, some memories can’t never be replaced’ (Walau apa pun terjadi, ada kenangan yang tidak dapat diganti) dikongsi Nurul Najihah turut meruntun hati pengikut Instagramnya.
Setelah selesai upacara pengebumian Allahyarham Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, kaki Nurul Najihah seakan-akan berat untuk melangkah pergi.
Namun, dia terpaksa juga menerima hakikat dan meneruskan perjuangan hidup sambil sesekali menoleh ke pusara Allahyarham Muhammad Adib ketika meninggalkan pekarangan kubur itu.
Buat Allahyarham Muhammad Adib, seluruh negara merasai pemergian mu wahai wira merah, nama mu akan terpahat dalam memori jutaan rakyat Malaysia. Al-Fatihah.










