PUTRAJAYA 29 Dis. – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu untuk memperbesarkan perniagaan mereka.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka yang berjaya akan dibantu selain pertandingan di antara mereka akan diadakan dengan hadiah yang besar disediakan.
Menurut Dr. Mahathir, dalam percubaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), didapati kaum wanita lebih serius dan berjaya berbanding golongan lelaki dalam apa jua bidang.
“Ada wanita sudah jadi jutawan pun hanya dengan membuat keropok lekor, tudung dan alat kecantikan wanita. Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan menarik.
“Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya. Oleh itu, kita akan tambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak termasuk kepada wanita di kampung,” katanya.
Dr. Mahathir merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini malam ini.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan hasrat untuk membatalkan AIM kerana agensi berkenaan tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak syarikat.
Bagaimanapun, hasrat kerajaan itu mendapat tentangan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat AIM memainkan peranan besar membantu golongan usahawan. – UTUSAN ONLINE









