Ahli penentu kebangkitan - Utusan Malaysia

Ahli penentu kebangkitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Hanya ahli dan pemimpin UMNO sahaja yang boleh menentukan masa hadapan parti itu sama ada mahu bangkit kembali menjadi sebuah parti terkuat ataupun menjadi seolah-olah sebuah bahtera bocor.

JALALUDDIN ALIAS
JALALUDDIN ALIAS 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, pelbagai pihak bebas untuk memberikan pendapat mereka mengenai UMNO tetapi yang menjadi penentu jatuh atau bangun parti itu adalah ahli dan pemimpinnya sendiri.

“Semua parti yang ada dalam negara kita bebas memberikan pandangan terhadap parti lain sama ada positif ataupun negatif. Tetapi untuk membuktikan UMNO akan menjadi parti yang bocor, dibubarkan ataupun tidak adalah orang parti itu sendiri.

“Paling penting untuk ahli UMNO menjaga parti tersebut agar terus menjadi yang terbesar, kuat dan boleh bangkit semu­la membela rakyat pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, beberapa media memetik kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi satu temuramah ‘An Evening With Tu­an Guru Ab­dul Hadi Awang’ di Dublin, Ireland, melaporkan bahawa Pas menyifatkan UMNO sebagai bahtera bocor dan tidak mungkin akan bergabung de­ngannya.

Malah, semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula mengulangi pendapat peribadi­nya bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.

ARMAND AZHA
ARMAND AZHA 

Sementara itu, Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, UMNO terbuka menerima pandangan, cadangan mahupun kritikan daripada mana-mana pihak untuk memperbaiki parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelasnya, bahtera UMNO kini sedang dibaik pulih dan sudah mempunyai pasukan mantap untuk diikemudi dalam landskap baharu politik negara.

“Saya mengambil sudut pandangan yang berbeza dan positif berhubung kenyataan yang di­buat oleh Abdul Hadi. UMNO kini dalam proses pemutihan secara organik terutama ketika beberapa ahli Parlimen daripada UMNO bertindak keluar parti.

“Sebagai seorang pemimpin muda dalam parti, saya lihat ini adalah peluang dan ruang bagi parti melaksanakan transformasi serta memberi peluang pada muka-muka baharu untuk mengambil tanggungjawab penting. Saya juga yakin akar umbi UMNO akan terus setia berjuang dalam pe­ngukuhan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN