KUALA LUMPUR 19 Dis. – Ahli-ahli UMNO kini amat mengharapkan sentuhan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menenangkan kembali ketidaktentuan yang dialami parti setelah diberi peranan menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ahli-ahli parti harap Mohamad mampu meredakan kemelut yang melanda susulan beberapa ahli Parlimen dan pemimpin UMNO meninggalkan parti tersebut.
“Saya percaya seluruh ahli-ahli UMNO menantikan sentuhan drastik daripada Mohamad bagi menenangkan kembali ketidaktentuan yang berlaku di dalam parti ini.
“Justeru diharap beliau mampu untuk bertindak segera bagi meredakan kemelut yang melanda sekali gus menggariskan hala tuju yang jelas kepada seluruh kepemimpinan parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas-tugasnya kepada Mohamad perlu disambut baik sebagai langkah yang tepat dan berani.
“Saya percaya bukan mudah untuk beliau membuat keputusan tersebut, namun beliau telah menunjukkan kematangan dalam politik dan bersikap profesional,” katanya.-UTUSAN ONLINE










